2.4 Perlombongan



KERJA RUMAH TERANCANG

GEOGRAFI B , STPM BAHARU

Siapkan nota berdasarkan perkara di bawah

PERLOMBONGAN DAN SUMBER TENAGA GANTIAN

1.Tampal/ lukis peta Taburan Lokasi Kegiatan Perlombongan
2. Nyatakan  Lokasi Kegiatan Perlombongan Di Malaysia
3. Nyatakan jenis-Jenis Mineral Tenaga (Beberapa Contoh)
4. Huraikan faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pembangunan Pesat Sektor Perlombongan Malaysia (peta minda dan huraiannya)
5. Huraikan kepentingan Sektor Perlombongan Kepada Pembangunan Ekonomi Dan Sosial  (peta minda dan huraiannya)
 6. Huraikan masalah Yang Dihadapi Dalam Sektor Perlombongan   (peta minda dan huraiannya)
7. Penggunaan Teknologi Moden Dapat Memaju Dan Memperkembangan Sektor Perlombongan  Di Malaysia  
8. Kesan-Kesan Pembangunan Dan Perkembangan Sektor Perlombongan Atau Industri Perlombongan Kepada Komponen Alam Sekitar Fizikal.   
i) Litosfera
ii) Atmosfera
            iii) Hidrosfera :
            iv) Kesan ke atas Biosfera:
9. Langkah-Langkah Mengurangkan Kesan Negatif Kegiatan Perlombongan  Terhadap Alam Sekitar   Di Malaysia.
i) Langkah Perundangan
ii) Amalan Pengurusan Strategik
iii) Kempen Dan Pendidikan Alam Sekitar


SUMBER TENAGA GANTIAN

1. Maksud Beserta Beberapa Contoh Sumber Tenaga Fosil Dan Sumber Tenaga Alternatif/Gantian
2. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Sumber Tenaga Alternatif Di Malaysia (peta minda dan huraiannya)
3. Masalah-Masalah Yang Dihadapi Untuk Memajukan Sumber Tenaga Alternatif    (peta minda dan huraiannya)
4. Kesan-Kesan Pembangunan sumber Alternatif [Empangan Keh] Kepada Komponen Alam Fizikal  (peta minda dan huraiannya)
i.)Litosfera
ii.)Atmosfera
iii.)Hidrosfera 
iv.)Biosfera




RUJUKAN :
 Hj. Rusli Musa dan Hjh Nurashikin Abdullah. 2003. Teks Pra-U STPM Gegrafi Penggal 2. Pearson Malaysia Sdn Bhd.





     PETA TABURAN LOKASI KEGIATAN PERLOMBONGAN DI MALAYSIA




1. Peta Taburan Lokasi Kegiatan Perlombongan




2. Taburan Lokasi Kegiatan Perlombongan Di Malaysia

Jenis Mineraal
Lokasi Perlombongan
Petroleum dan Gas Asli

Petroleum:
Luar pantai Terengganu, Pantai Barat Sabah, Luar Pantai Sarawak seperti Medan petroleum Tiong,Guntong,Tapis,Semangkok,Dulang,Bekok,dan Seligi di lombong di luar pantai Terengganu.
Medan Petroleum St.Joseph,Erb West,dan Samarang di luar  pantai sabah
Medan petroleumBaram,Baronia,Betty,bokor,Temana di luar pantai Sarawak.
Gas asli :
Terdapat di luar pantai terengganu,sabah dan Sarawak yang berhampiran dengan medan petroleum.
Misalnya,medan gas asli di Tujuh,Bujang,Resak,dan Jerneh yang terletak di luar pantai terengganu.
Medan gas asli di Kinarut dan Glayzer di luar pantai sabah.
Medan gas asli di Beryl dan Laila di luar pantai Sarawak.                                                                           

Bijih Timah

Bijih Timah Lanar – Lemb. Kinta di perak,kuala langat di selangor, Lemb Kelang, Seremban & Kota Tinggi di johor.
Bijih Timah Telerang – Sg. Lembing (Phg), Kaki Bukit (Perlis)

Bijih Besi
Semeling (Kedah),ipoh (perak), Kemaman (T’ganu), Kota Tinggi, Endau, Batu Pahat (Johor)
Bauksit
Teluk Ramunia & Seri Medan (Johor)
Tembaga (Kuprum)
Mamut & Ranau (Sabah)
Emas
Bau (S’wak), Raub (Phg), Lubuk Mandi (Terengganu)
Batu Marmar
Baling & Pulau Langkawi (Kedah)
Batu Kapur (Simen)
Tasik, Pulau Langkawi

3. Jenis-Jenis Mineral Tenaga (Beberapa Contoh)
Mineral Tenaga
Kegunaan
Petroleum
-Bahan bakar: menggerakan mesin dan jentera di kilang, menjana kuasa elektrik haba, menjalankan kenderaan bermotor,
-Bahan mentah industri petrokimia
-Industri minyak pelincir
-Bitumen – menurap permukaan jalan
Gas Asli
- Bahan api dan bahan mentah untuk baja urea
Arang Batu
-Bahan api di kilang-kilang
-Sumber tenaga  janakuasa elektrik terma (stesen janakuasa di Kapar selangor)
                      

4.  Perbezaan Antara Aktiviti Perlombongan  Dengan Industri  Perlombongan
          Aktiviti perlombongan merupakan aktiviti ekonomi primer dan melibatkan usaha-usaha   meneroka, cari gali dan memperolehi sumber-sumber mineral seperti perlombongan petroleum, gas asli bijih timah, kuprum, bauksit, dan sebagainya. Usaha-usaha ini  termasuk seperti kaedah melombong seperti menggerudi bagi perlombongan petroleum dan gas asli. Manakala penggunaan kaeadah  kapal korek, mendulang, pam kelikir bagi perlombongan bijih timah.

              Manakala industri perlombongan  aktiviti ekonomi sekunder iaitu melibatkan kegiatan pemprosesan dan pembuatan. Contohnya,  aktiviti pemprosesan seperti melebur bijih timah, bijih besi, bauksit, kuprum, penapisan petroleum dan gas asli. Manakala aktiviti pembuatan seperti  industri  petrokimia iaitu menghasilkan cat, tekstil dan bahan-bahan plastik.daripada bahan sumber petroleum, industri minyak pelincir,  membuat baja urea dari gas asli, industri menyadur tin dari sumber bijih timah,.

5. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Pembangunan Pesat Sektor Perlombongan Malaysia.

            i. Terdapat stok atau simpanan sumber yang banyak
            Antara faktor-faktor yang mempengaruhi pembangunan pesat sektor perlombongan Malaysia ialah  stok atau simpanan sumber .Stok simpanan sumber yang banyak dapat menentukan jangka masa operasi di samping kualiti sumber mineral yang ada.Contohnya sumber petroleum di Malaysia berkeupayaan mengeluarkan 600 000 tong sehari dan dijangka dapat dilombong sehingga 50 tahun lagi.

            ii. Faktor ekonomi khususnya permintaan dan harga
            Faktor seterusnya yang mempengaruhi pembangunan pesat sektor perlombongan Malaysia ialah faktor ekonomi khususnya permintaan dan harga.Harga yang tinggi akan mempengaruhi kapasiti pengeluaran.Contohnya di pasaran dunia harga petroleum mentah Malaysia adalah sangat tinggi iaitu US $ 30.00 setong.Di dalam negara permintaan terhadap petroleum dan gas asli meningkat kerana perkembangan pesat sektor perindustrian dan pengangkutan yang bergantung kepada sumber tenaga sebagai sumber bahan mentah dan sumber kuasa.Contoh petroleum dari Malaysia yang bermutu tinggi mendapat permintaan yang tinggi dari negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura kerana kandungan sulfurnya yang rendah mengurangkan kadar pencemaran.

            iii. Faktor kemudahan infrastruktur dan prasarana
            Faktor lain yang mempengaruhi pembangunan pesat sektor perlombongan Malaysia ialah faktor kemudahan infrastruktur dan prasarana .Kemudahan pengangkutan seperti jalan raya, jalan kereta api dan jalan air yang baik memudahkan ketersampaian ke kawasan perlombongan.Manakala prasarana yang mencukupi seperti kemudahan pelabuhan, gudang penyimpanan dan sebagainya membantu dalam urusan penyimpanan dan pemasaran hasil serta produk perlombongan.Contohnya kemudahan jalan kereta api di bina dari Taiping ke Port Weld pada suatu masa dahulu untuk mengangkut bijih besi yang dilombong ke perlabuhan bagi tujuan eksport.
           
            iv. Keupayaan modal dan teknologi
            Selain itu antara faktor yang mempengaruhi pembangunan pesat sektor perlombongan Malaysia ialah keupayaan modal dan teknologi.Sumber modal akan mempengaruhi skala pengeluaran iaitu melalui pelaburan modal asing dan pelaburan modal tempatan seperti dari sektor kerajaan dan swasta.Contohnya, Petronas menanam modal yang besar dalam perlombongan petroleum di Malaysia.Teknologi  yang tinggi juga diperlukan untuk kegiatan perlombongan secara besar-besaran.Contohnya Malaysia mengimport teknologi kapal korek untuk meningkatkan pengeluaran dan perlombongan bijih timah daripada Britain, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun.

            v. Faktor tenaga buruh dan kepakaran
Faktor lain yang mempengaruhi pembangunan pesat sektor perlombongan Malaysia ialah faktor tenaga buruh dan kepakaran.Tenaga buruh mahir amat penting untuk kerja-kerja kejuruteraan, R & D, kawalan mutu dan sebagainya. Kekurangan buruh mahir ini biasanya diatasi dengan pengambilan tenaga mahir asing dan juga melalui skim latihan dan kursus jangka panjang untuk pekerja tempatan.Contohnya Petronas menghantar pekerjanya bagi mengikuti latihan kemahiran di luar negara seperti Britain, Amerika Syarikat dan Jerman setiap tahun bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka. Di samping Petronas menubuhkan Universiti Petronas di Terengganu bagi melahirkan tenaga mahir dalam bidang berkaitan.

            vi. Dasar kerajaan
            Faktor terakhir yang mempengaruhi pembangunan pesat sektor perlombongan Malaysia ialah dasar kerajaan.Galakan kerajaan dapat mempertingkatkan pengeluaran.Contohnya galakan kerajaan di Malaysia dalam sektor perlombongan petroleum dapat dilihat melalui penubuhan Petronas bagi kerja-kerja meneroka dan memproses sumber petroleum di perairan negara.


6. Kepentingan Sektor Perlombongan Kepada Pembangunan Ekonomi Dan Sosial

              i. Sumber pendapatan negara
 Kepentingan sektor perlombongan kepada pembangunan ekonomi dan sosial adalah sebagai sumber pendapatan negara.  Pada tahun 1990, hasil perlombongan menyumbangkan 20.7 % daripada jumlah eksport Malaysia dan pada tahun 1960-an bijih timah merupakan penyumbang eksport utama negara.Kini, petroleum mentah merupakan sumber bagi menampung imbangan dagangan negara dan meningkatkan tukaran wang asing seperti Dollar US dan Yen Jepun.Hasil perlombongan utama yang dieksport termasuklah petroleum, gas asli cecair (LPG), bijih timah, tembaga dan bijih besi.Sebahagian besar dieksport ke negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.

           
ii. Membuka peluang pekerjaan
Selain itu ia juga dapat membuka peluang pekerjaan                                                                                                                                                                                      kepada penduduk tempatan sama ada secara langsung atau tidak langsung iaitu termasuklah kerja-kerja pengeluar, pemprosesan, dan pengangkutan hasil-hasil perlombongan. Di samping itu ,kerja-kerja yang berkaitan dengan penyelidikan, pentadbiran dan pengurusan juga dijalankan.Kegiatan perlombongan menyediakan peluang pekerjaan kepada 100 000 orang (2 %) dari gunatenaga di Malaysia pada tahun 1990.Manakala industri perlombongan pula menyediakan kira-kira 600 000 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti ahli geologi petroleum, jurutera, ahli oceaneografi, pegawai tadbir dan buruh.

            iii.    Menarik pelabur luar  atau input modal
Kepentingan sektor perlombongan seterusnya ialah dapat menarik pelabur luar  atau input modal ke negara Malaysia.Penemuan sumber asli yang menguntungkan ini menarik pelabur asing menanam modal di negara ini.Contohnya penemuan petroleum dan gas asli telah menarik minat syarikat minyak asing dari Britain, Amerika Syarikat dan lain-lain untuk melabur di Malaysia. Antara syarikat yang telah melabur di Malaysia termasuklah Shell, British Petroleum (BP), Esso dan lain-lain.
                                                                                   
            iv. Mewujudkan kesan pengganda
               Malahan sektor perlombongan mewujudkan kesan pengganda. Contohnya, perlombongan petroleum mewujudkan  industri pembersihan petroleum, petrokimia seperti polimer, plastik, tekstil tiruan dan keluaran mineral logam seperti bijih timah, bijih besi, tembaga dan emas menggalakkan industri peleburan dan pengeluaran barang-barang termasuklah barangan perhiasan.Contohnya,industri memproses gas asli dan petrokimia di Kerteh (Terengganu),industri baja urea di Bintulu (Sarawak), industri besi dan keluli iaitu Syarikat  Pewaja Steel, Teluk Kalong di Terengganu, Syarikat. Malaysiawata, Seberang Prai,  Pulau Pinang
.
             v. Menggalakkan perpindahan teknologi
              Seterusnya, aktiviti perlombongan  menggalakkan perpindahan teknologi. Pengaliran teknologi dan kepakaran terutama dari negara-negara maju.  Kemasukan teknologi membantu perkembangan R & D dalam bidang perlombongan.Contohnya petronas mengimport teknologi dari Amerika Syarikat, Britain, Jerman dan lain-lain untuk membangunkan perlombongan petroleum dan industri asas petrokimia di Malaysia.

            vi. Membangunkan infrastruktur dan prasarana
            Kepentingan sektor perlombongan dapat membangunkan infrastruktur dan prasarana bagi keperluan  untuk kerja-kerja pengeluaran, pemasaran hasil dan pembangunan sumber.  Di samping itu, kemudahan ini dapat digunakan oleh penduduk tempatan seperti jalan raya, jalan kereta api, kemudahan pelabuhan, kemudahan elektrik dan lain-lain. .Sebagai contoh kegiatan perlombongan bijih timah suatu masa dahulu telah mewujudkan jalan kereta api dari Taiping ke Port Weld. Jalan raya juga diwujudkan dari Batu Gajah – Kampar – Ipoh, pembangunan pelabuhan untuk mengeksport hasil-hasil perlombongan seperti Pelabuhan Klang, Pulau Pinang, Miri, Lutong dan lain-lain.

           vii. Meningkatkan proses pembandaran
Kepentingan sektor perlombongan terakhir adalah meningkatkan proses pembandaran.Ia menggalakkan pusat-pusat pertumbuhan baru seperti pekan, bandar, dan pelabuhan.Pusat tumpuan pekerja dan penduduk, penempatan dan dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan.Contohnya, Miri, Bintulu, Lutong dan Kerteh pembandaran hasil dari industri memproses gas asli dan sumber petroleum.


 7. Masalah Yang Dihadapi Dalam Sektor Perlombongan

i.                    Longgokan  galian semakin berkurangan
Sektor perlombongan menghadapi masa depan gelap kerana galian adalah sumber yang boleh pupus dan tidak boleh diperbaharui. Timbunan arang batu, bijih timah dan emas sudah pupus dan lombong emas dan arang batu di Semenanjung Malaysia telah pun ditutup.  Simpanan petroleum dijangka habis dalam 20-30 tahun.  Rizab bijih timah boleh tahan kira-kira 20 tahun sahaja.

ii.                  Harga komoditi perlombongan tidak stabil
Harga komoditi perlombongan tidak stabil.  Harganya bergantung kepada pasaran
dunia.  Kadang kala harganya tinggi untuk tempuh tertentu dan menjunam jatuh pada tahap yang rendah. Keadaan ini memberi  kesan tidak menentu kepada ekonomi sesebuah negara.  Misalnya minyak RON 95 pada tahun 1991 ialah sebanyak RM1.13 seliter dan meningkat kepada RM2.70 pada 2008 dan jatuh pula kepada RM1.80 pada 2009 di Semenanjung Malaysia.

iii.                Kekurangan tenaga buruh
Sektor perlombongan juga menghadapi masalah kekurangan tenaga buruh  sama ada mahir atau tidak mahir. Kekurangan tenaga buruh menyebabkan sektor perlombongan mengalami penurunan dalam produktiviti.  Tambahan golongan belia suka bekerja di di sektor perindustrian di kawasan-kawasan bandar besar yang memiliki suasana kerja yang lebih bersih dan menarik berbanding bekerja sektor seperti perlombongan bijih timah. Di samping itu, kekurangan jurutera tempatan dan permintaan tinggi di peringkat antarabangsa dalam industri petroleum dan gas menjadi satu masalah serius dalam usaha pengisian tenaga kerja di Sarawak.

iv.        Kos pengeluaran meningkat akibat kenaikan kos
            Kos pengeluaran dalam sektor perlombongan juga meningkat.  Kos jentera dan mesin serta alat ganti  meningkat seperti pam kelikir, kapal korek, alat pengerudian, saluran dan sebagainya. Di samping upah buruh juga semakin tinggi berbanding dengan tahun-tahun lepas. Ini menyebabkan keutungan pelabur semakin berkurangan. Hal ini menyebabkan sebahagian lombong bijih timah telah ditutup di sekitar lembah Kelang.

iv.                Saingan daripada bahan galian lain
Sektor perlombongan menghadapi persaingan antara negera pengeluar dan bahan-bahan lain. Persaingan  ini menyebabkan harga ditawarkan lebih murah dan mengurangkan keuntungan pengusaha atau pelabur. Contoh perlombongan bijih timah Malaysia bersaingan dengan negara Bolivia, perlombongan petroleum Malaysia bersaing dengan negara pengeluar minyak lain seperti Kuwait, Arab Saudi, Venezuala dan lain-lain. Di samping itu,  bijih timah juga menghadapi persaingan dengan bahan-bahan lain yang lebih murah seperti aluminium dan plastik.

vi. Kemusnahan   alam sekitar
            Aktiviti perlombongan menyebabkab berlaku kemusnahan alam sekitar. Aktiviti ini menyebabkan berlakunya masalah pencemaran udara, air, tanah dan sebagainya. Contohnya kesan perlombongan bijih timah di sekitar Ipoh, Perak menyebabkan berlakunya tanah terbiar dan tandus

8. Langkah-Langkah/ Program Untuk Memaju Dan Membangunkan Sektor Perlombongan Di Malaysia.

            i. Mengurangkan pergantungan
Mengurangkan pergantungan dan menjimatkan penggunaan mineral terutamanya petroleum sebagai bahan bakar. Penggunaan  sumber alternatif seperti tenaga solar untuk menyalakan lampu terutamanya di kawasan pedalaman

            ii. Mempergiatkan usaha mencari gali

Mempergiatkan usaha mencari gali untuk mengesan longgokkan baru seperti yang dijalankan oleh PERTRONAS dan Perbadanan Perlombongan Malaysia (MMC). Contohnya, penemuan kawasan blok baru di luar pantai Sabah dan Sarawak. Di samping itu,  usaha ini dilakukan juga sehingga ke Alaska, Amerika utara oleh syarikat minyak antarabangsa bagi mengatasi kekurangan bekalan petroleum


            iii.Menggunakan teknologi moden
Menggunakan teknologi moden dalam mempertingkatkan kecekapan perlombongan serta cara pemprosesan sumber mineral untuk elakkan pemba-ziran.  Contohnya seperti penggunaan satelit untuk mengesan kawasan yang kaya dengan sumber-sumber petroleum di luar pantai Malaysia. . Selain itu, teknologi memproses yang lebih moden dapat memastikan sumber seperti bijih timah dapat diproses dengan lebih baik tanpa pembaziran.


            iv.Memperkenalkan sumber tenaga baruMemperkenalkan sumber tenaga baru seperti tenaga suria, tenaga biomass, tenaga thermal dan hidro elektrik. Kebanyakan sumber tenaga baru,  boleh diperbaharui dan tidak akan pupus walaupun digunakan secara berterusan.  Di samping itu, sumber ini lebih mesra alam berbanding dengan sumber kovensional.

v.Mengitar semula bahan
Mengitar semula bahan.  Program kitar semula bahan-bahan hasil perlmbongan dapat mengurangkan aktiviti perlombongana yang boleh mencemar alam sekitar.  Bahan besi terpakai seperti kenderaan, tin, bateri, zink dan sebagainya boleh diproses untuk dijadikan bahan yang baru. Contohnya, kilang Perwaja di Teluk kalong, Kemaman Terengganu.

vi.Kerjasama dengan Negara lain.
Kerjasama dengan Negara lain. Kepentingan kerjasama ini dapat memajukan sektor perlombongan pada masa akan datang. Contohnya Malaysia mengadakan kerjasama dengan negara OPEC (Pertubuhan negara-negara pengeksport petroleum). Kerjasama ini bertujuan memastikan kestabilan harga minyak di pasaran dunia. Di samping itu, pertubuhan dapat menjadi tempat perbincangan berkaitan dengan petroleum.


9. Penggunaan Teknologi Moden Dapat Memaju Dan Memperkembangan Sektor Perlombongan  Di Malaysia

i) Gerudi
            Gerudi ialah salah alat yang digunakan untuk mengorek lapisan batuan yang keras. Alat ini dibuat daripada bahan besi yang tahan hakis. Gerudi boleh menembusi lapisan  batuan sehingga 100 kaki dari permukaan bumi. Proses mengorek akan berhenti apabila kerja-kerja tersebut ke kawasan takungan atau telaga  minyak atau gas asli. Tegasnya, dengan adanya teknologi penggerudian ini, aktiviti perlombongan petroleum dan gas asli berkembangan dengan pesat. Contohnya pada 1973 jumlah penggeluaran minyak mentah telah meningkat kepada 90,000 tong sehari.

ii) Kapal tangki
Kapal tangki adalah satu teknologi pengangkutan untuk memunggah petroleum mentah daripada pelantar pengeluar minyak yang telah di luar pantai ke pusat penapisan minyak di daratan. Contoh di pusat penapisan kertih Terengganu. Kapal ini dapat membawa beribu-ribu tong minyak mentah. Dengan pengunaan kapal tangki,  dapat mempercepatkan penghantaran minyak  ke pusat-pusat penapisan seperti di Tangga Batu, Melaka.

iii) Paip Dasar laut
Penggunaan paip dasar laut memudahkan proses penghantaran  petroleum dan gas asli  dari pelantar  ke pusat penapisannya  selain daripada penggunaan kapal tangki.  Di samping teknologi paip juga  digunakan untuk menghantar minyak yang telah ditapis ke pusat simpanan sementara dihantar kepada pengguna.
                                                

iv) Pelantar Pengeluaran Minyak
Pelantar pengeluaran minyak adalah satu binaan konkrit didirikan di tengah lautan.  Pelantar ditempatkan alat penggerudian, tangki simpanan sementara, tempat pendaratan helikopter, pejabat pentadbiran, tempat rehat pekerja. Dengan ini, kerja-kerja pengeluaran minyak mentah dapat dijalankan sepanjang masa. Contoh pelantar seperti Pelantar Parameswara dan pelantar Duyong di luar pantai Terengganu.



10. Kesan-Kesan Pembangunan Dan Perkembangan Sektor Perlombongan Atau Industri Perlombongan Kepada Komponen Alam Sekitar Fizikal.

i) Litosfera
                a. Perubahan pandang darat fizikal
   Kesan-kesan pembangunan dan perkembangan sektor perlombongan kepada alam sekitar fizikal ialah  perubahan pandang darat fizikal yang ketara . Aktiviti kegiatan perlombongan telah mewujudkan sebuah pandang darat yang berbeza dari keadaan sebelumnya iaitu semulajadi. Keadaan ini berlaku di kawasan yang digali untuk kegiatan perlombongan, pandang darat seperti lekukan, lubang, kolam dan tasik sering kelihatan. Manakala di kawasan cerun bukit pula kesan-kesan pemotongan, penarahan, ketulan-ketulan tinggalan sering didapati. Contohnya, perlombongan bijih timah di sekitar Ipoh, Taiping, Larut dan lain-lain telah mewujudkan pandang darat baru seperti kolam, lubang dan tasik. Selain itu, pelombongan kuari di sekitar Selangor contohnya di  Sg. Penchala, Bt. Cave dan lain-lain yang telah menghasilkan bukit gondol, batu tongkol dan batu sisa.
   
                 b. kehilangan tanah penutup yang subur(Top Soil)
              Selain daripada itu, kesan-kesan sektor perlombongan ialah kehilangan tanah penutup iaitu Top Soil. Kesan penggondolan kawasan memudahkan hakisan tanah berlaku dan dengan itu tanah penutup yang subur dibawa bersama aliran air permukaan. Kesannya kawasan tersebut hanya tinggal satu lapisan kasap yang tidak subur dan tidak sesuai untuk kegiatan pertanian. Contohnya, lapisan pasir yang ditinggalkan hasil daripada aktiviti perlombongan bijih timah di beberapa kawasan sekitar Taiping, Ipoh, dan Kinta adalah tidak subur dan tidak sesuai untuk pertumbuhan tanaman. Ini menjadikan kawasan tersebut tandus.

               c. Menggalakkan hakisan dan kerosakan cerun bukit
            Kesan yang berikut ialah menggalakkan hakisan dan kerosakan cerun bukit. Penggondolan dan pendedahan kawasan mengakibatkkan struktur dan komposisi tanah musnah akibat aktiviti perlombongan yang dijalankan ke atasnya. Selain itu, kejadian hakisan tanah, kesotan tanah dan tanah runtuh sering berlaku di kawasan perlombongan yang melibatkan kawasan tanah tinggi.Contohnya, perlombongan tembaga di Bukit Mamut (Sabah) menggalakkan kejadian tanah runtuh dan hakisan tanah di kawasan tersebut. Kesan kejadian tersebut, Sungai Mamut dipenuhi oleh sadimen-sedimen dan mencetekkan sungai tersebut.

ii) Atmosfera

a.      Pencemaran udara
 Kesan seterusnya  ialah pencemaran udara. Perlombongan kuari melalui pemecahan batuan mengakibatkan partikal-partikal terampai (PM10) seperti habuk dan debu terapung di udara. Selain itu, asap-asap dari jentera dan kenderaan pengangkutan melombong juga menjadi penyumbang kepada pencemaran udara. Aktiviti perlombongan kuari di Batu Cave dan Sungai Penchala di Selangor sering mengakibatkan habuk dan debu, serta menjadi punca kejadian jerebu.Contohnya, pelepasan asap dari kilang memproses gas asli di kawasan industri di Paka dan Kerteh mengakibatkan pencemaran udara.


iii) Hidrosfera :

a. merosakkan ekosistem air semulajadi
Kegiatan  perlombongan boleh merosakkan ekosistem air semulajadi. Tumpahan minyak dan pembuangan sisa terutamanya dari atas pelantar ke laut dan kerja penggerudian minyak dan gas asli di dasar laut. Selain itu, hal ini juga boleh berpunca daripada kerosakan kapal tangki dan  kebocoran salur paip minyak mengakibatkan pencemaran laut. Penggunaan raksa dalam kegiatan pengasingan bijih timah mengakibatkan bahan kimia tersebut memasuki sistem hidrologi semulajadi dan menyebabkan pencemaran sungai.

  b. Memusnahkan  kawasan tadahan hujan
Kegiatan perlombongan di kawasan hutan seringkali mengakibatkan kemusnahan kawasan tadahan hujan.Keadaan ini menyebabkan jumlah hujan berkurangan di kawasan tadahan dan seterusnya mengurangkan kapasiti air di dalam alur sungai (di kawasan hulu sungai).Seterusnya mengganggu punca air ke sungai-sungai utama dan juga sumber air empangan.Contohnya kegiatan perlombongan yang dijalankan di Sokor, Tanah Merah (Kelantan) telah mengakibatkan kerosakan kawasan tadahan hujan yang menjadi punca air ke Empangan Pergau.



iv) Biosfera:

            a.kemusnahan habitat dan ekosistem semulajadi flora dan fauna
Kegiatan perlombongan seringkali mengakibatkan kawasan yang luas diterokai. Penerokaan ini melibatkan kerja-kerja pembinaan kawasan Bandar baru, kilang memproses petroleum dan gas asli, jalan raya dan sebagainya. Akhirnya mengakibatkan kemusnahan habitat dan ekosistem semulajadi flora dan fauna. Ini secara tidak langsung mengakibatkan kepupusan sumber bermutu dari hutan yang tiada nilainya.Contohnya perlombongan emas secara haram di Hutan Simpan Mersing pada Jun 2005 telah mengakibatkan kawasan hutan seluas 2 hektar dimusnahkan dan perlombongan petroleum di dasar laut juga mengakibatkan kemusnahan kawasan karangan laut yang menjadi habitat kepada hidupan marin contohnya perlombongan petroleum did luar pantai Terengganu.

15. Langkah-Langkah Mengurangkan Kesan Negatif Kegiatan Perlombongan / Industri Perlombongan Terhadap Alam Sekitar / Penglestarian Sektor Perindustrian Di Malaysia.
              
Terdapat tiga langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan masalah tersebut iaitu langkah perundangan,menjalankan amalan pengurusan yang strategik serta kempen dan pendidikan alam sekitar.

i) Langkah Perundangan
                Langkah pertama ialah menghadkan kouta pengeluaran petroleum,pemberian lesen dan konsesi cari gali petroleum di kawasan atau medan petroleum yang baru mestilah dilaksanakan agar simpanan sumber ini dijamin berterusan dan tidak dieksploitasi sepenuhnya dalam jangka masa yang singkat.

                Langkah kedua ialah pihak Pejabat Tanah dan Galian (PTG) pula mengawal aktiviti cari gali sumber-sumber mineral seperti emas serta aktiviti perlombongan kauri dan pecah batu melalui pemberian lesen dan syarat yang ketat.Selain itu tindakan tegas diambil kepada mana-mana syarikat yang melanggar peraturan yang ditetapkan seperti mengenakan denda atau kompaun yang tinggi, menyita premis, menggantung atau membatalkan operasi dan memenjarakan pihak-pihak yang terlibat melanggar peraturan  tersebut.

Seterusnya, laporan EIA wajib disediakan oleh syarikat yang ingin mengusahakan
sebarang aktiviti perlombongan. Laporan tersebut berkaitan jangkaan kesan terhadap
alam sekitar serta langkah mengatasinya yang perlu  disediakan oleh pemaju sebelum
projek tersebut diluluskan oleh pihak berkuasa. pihak berkuasa boleh menangguh atau
membatal projek tersebut jika tidak menepati piawaian EIAdan jika didapati melanggar
syarat-syarat  EIA maka JAS boleh mengambil tindakan undang-undang yang tegas.




ii) Amalan Pengurusan Strategik

            Langkah pengurusan strategik, iaitu menjalankan kerja-kerja pembersihan laut, pantai, dan sungai jika didapati pencemaran laut, pantai, dan sungai berlaku. Kerja-kerja  pembersihan ini mestilah dijalankan secara bersepadu antara syarikat yang terbabit dgn JAS.

            Di samping itu, menguatkan kembali struktur cerun bukit yang telah rosak akibat kerja kauri dan pecah batu. Benteng konkrit atau groin dan gabion mestilah dibina utk mengelakkan kejadian hakisan tanah dan tanah runtuh di kws cerun bukit yg terlibat dgn perlombongan kauri dan pecah batu berkenaan.



iii) Kempen Dan Pendidikan Alam Sekitar

            Kempen-kempen secara  berterusan dan bersepadu antara angensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat perlu diadakan. Kempen boleh diadakan melalui media massa iaitu media cetak dan media elektronik.  Aktiviti gotong-royong membersihkan pantai dari tumpahan minyak, mengedarkan risalah dan sebagainya.

            Pendidikan alam sekitar boleh dilakukan dengan mengadakan seminar, forum, dialog  di kalangan pengusaha perlombongan dengan pihak kerajaan. Hal ini bertujuan memberikan kesedaran kepada semua masyarakat terhadap tanggungjawab menjaga alam sekitar.

  ========================================================================                 


SUMBER TENAGA GANTIAN

1. Maksud Beserta Beberapa Contoh Sumber Tenaga Fosil Dan Sumber Tenaga Alternatif/Gantian
2. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Sumber Tenaga Alternatif Di Malaysia (peta minda dan huraiannya)
3. Masalah-Masalah Yang Dihadapi Untuk Memajukan Sumber Tenaga Alternatif    (peta minda dan huraiannya)
4. Kesan-Kesan Pembangunan sumber Alternatif [Empangan Keh] Kepada Komponen Alam Fizikal  (peta minda dan huraiannya)
i.)Litosfera
ii.)Atmosfera
iii.)Hidrosfera 
iv.)Biosfera




1. Maksud Beserta Beberapa Contoh Sumber Tenaga Fosil Dan Sumber Tenaga Alternatif/Gantian

                    Sumber tenaga fosil merujuk kepada mineral yang dilombong untuk menghasilkan bahan api atau sumber kuasa .Antara contoh sumber tenaga fosil ialah petroleum,gas asli dan arang batu.

                      Sumber tenaga alternatif/gantian merujuk sumber yang digunakan untuk menggantikan tenaga konversional yang semakin pupus. Antara contoh tenaga alternatif ialah tenaga hidroelektrik, tenaga suria, tenaga biojisim, tenaga ombak dan sebagainya

2. Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Sumber Tenaga Alternatif Di Malaysia

          i. Penyusutan bekalan sumber tenaga konvensional (tenaga fosil)
Salah satu faktor yang menyebabkan penggunaan tenaga gantian ialah penyusutan bekalan sumber tenaga konvensional (tenaga fosil). kadar eksploitasi yang berlebihan menyebabkan sumber ini dijangka habis antara tempoh tertentu. Contohnya petroleum dijangkakan akan kehabisan dalam  40 tahun-50 tahun akan datang . Sektor sumber tenaga konversional semakin berkurangan, tidak boleh diganti, dan tiada penemuan baru menyebabkan tenaga gantian kepada sumber tenaga ini perlu dikaji.
Justeru itu, untuk mengelak berlaku krisis tenaga dunia pada masa akan datang maka sumber tenaga gantian yang banyak dan berpotensi ini perlu dibangunkan.

            ii. Mengurangkan kebergantungan sumber tenaga konvensional
Penggunaan tenaga gantian seperti biomas, ombak, dan sebagainya dapat mengurangkan kebergantungan dan penggunaan yang melampau kepada sumber tenaga konvensional yang jelas merbahaya serta banyak menimbulkan kesan negetif kepada alam sekitar. Akibat terlalu bergantung kepada sumber tenaga bahan api fosil maka kadar pencemaran udara semakin meningkat.Pembebasan karbon dioksida yang berlebihan menyebabkan berlakunya pemanasan global,hujan asid,dan sebagainya. Terutamanya did bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Ipoh.

            iii. Sumber tenaga gantian lebih bersih
Sumber tenaga gantian lebih bersih,tidak mencemarkan alam sekitar,sentiasa berterusan atau tidak pupus (sumber tenaga yang boleh diperbaharui),kos penyelenggaraan murah,mudah dialir dan dipindahkan,dan lain-lain lagi. Contohnya seperti tenaga solar telah dibangunkan di kawasan pedalaman Pahang untuk mengatasi masalah bekalan elektrik dan sistem telekomunikasi.

            iv. Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi
Selain itu, kemajuan dalam bidang sains dan teknologi juga mempengaruhi perkembangan sumber tenaga gantian.Dengan adanya kemajuan dalam sains dan teknologi,sumber tenaga gantian yang lebih baik dibandingkan tenaga konvensional berjaya ditemui.

v. Sumber-sumber tenaga gantian untuk pelbagai penggunaan
Sumber-sumber tenaga gantian yang ditemui dibangukan untuk pelbagai penggunaan khususnya dalam membekalkan tenaga elektrik.


3. Masalah-Masalah Yang Dihadapi Untuk Memajukan Sumber Tenaga Alternatif

             i. Lokasi sumber  terletak jauh di kawasan pedalaman
Antara masalah yang dihadapi untuk memajukan sumber tenaga alternatif dari segi tenaga hidroelektrik ialah lokasi sumber.Pengeluaran yang terletak jauh di kawasan pedalaman iaitu di kawasan hulu sungai seperti di Sarawak,Pahang,Terengganu dan Kelantan. Kawasan ini biasanya sukar di hubungi atau mempunyai darjah ketersampaian yang rendah .Keadaan ini akan meningkatkan kos pembinaan dan penghantaran tenaga ke kawasan sumber .Hal ini seterusnya meningkatkan kos pengeluaran kepada  pengguna.
       
            ii. Memerlukan modal yang besar
        Antara masalah yang kedua pula ialah modal. Sumber tenaga ini memerlukan modal yang besar yang mungkin menelan belanja jutaan ringgit di perlukan untuk pembinaan sesebuah empangan seperti projek hidroelektrik Bakun. Dalam hal ini keupayaan kewangan Negara untuk menampung projek-projek mega masih lagi terhad.

         iii. Kekurangan tenaga pakar
        Selain itu,keupayaan teknologi yang rendah dalam negara tidak dapat mengoptimumkan pengeluaran sumber tenaga hidroelektrik di Malaysia   .Negara juga terpaksa mendapatkan khidmat kepakaran asing dan teknologi dari luar Negara seperti Jepun bagi mengeksploitasi sumber hidro tersebut.  


4. Kesan-Kesan Pembangunan sumber Alternatif [Empangan Keh] Kepada Komponen Alam Fizikal

i.)Litosfera
kesan pembangunan sumber alternatif (kuasa hidro ) kepada alam sekitar melalui litosfera menyebabkan berlakunya pelbagai bentuk muka bumi di  kawasan tanah tinggi. selain itu berlaku kewujudan pelbagai kesan-kesan lekukan tasik, tasik menakung air,  cerun-cerun bukit yang musnah akibat kesan-kesan pemotongan penarahan dan tinggalan  ketulan-ketulan batuan.Terdapat juga perubahan pandang darat dari segi kemusnahan hutan yang  berlaku akibat aktiviti membina empangan.  Contohnya empangan Pergau di Jeli, Kelantan.
ii.)Atmosfera
kesan pembangunan sumber alternatif (kuasa hidro) alam sekitar melalui atmosfera menyebabkan berlakunya pelbagai fenoemena iklim dan cuaca seperti suhu,hujan,tekanan udara,kelembapan udara,tiupan angin dan lain-lain. Peningkatan suhu akan berlaku disebabkan penebangan hutan untuk membina empangan.  Di samping itu, berlaku arah perubahan tiupan angin di kawasan tersebut.
     
iii.)Hidrosfera 
kesan pembangunan sumber alternatif (kuasa hidro) alam sekitar  terhadap  hidrosfera menyebabkan 70% kawasan empangan  dilitupi  air. Keadaan ini akan menyebabkan mudah berlaku proses sejatan air. Awan-awan akan terbentuk dan boleh bertukar menjadi  hujan yang lebat di sekitar kawasan tersebut. Akhirnya terpaksa menampung bekalan air yang banyak. Contohnya, empangan Bakun di Sarawak jika pecah akan memusnahkan kawasan seluas negara Singapura.

iv.)Biosfera
            Pembangunan sumber tenaga alternatif  seperti KEH boleh memusnahkan sistem ekologi daratan dan akhirnya akan bertukar  sistem ekologi akuatik. Kesannya menyebabkan kemusnahan atau perubahan habitat dari hutan kepada habitat air. Misalnya gajah-gajah dari sekitar Tasik Kenyir dipindahkan ke taman negara Pahang. Di samping itu, berlakunya kemusnahan rantaian makanan daratan kesan penenggelaman pokok-pokok yang berfungsi sebagai pengeluar makanan utama dalam ekosistem hutan.  Selain itu, hal ini boleh menjejaskan kehidupan masyarakat asli yang bergantung hidup kepada kegiatan mengutip hasil-hasil hutan dan memburu binatang.


--------------------------------------------------------------------------


Geografi B Penggal Dua
Kuiz : Soalan Struktur
Nama:                                                    Ting:                                          Tarikh:


1. Nyatakan 3 jenis-jenis mineral logam  dan penggunaannya
a)

b)

c)

2. Nyatakan 3 jenis-jenis mineral tenaga dan penggunaannya

a)

b)

c)

3.Nyatakan  3 faktor yang mempengaruhi pembangunan sektor perlombongan  di Malaysia
a)

b)

c)



4.  Nyatakan 3  tenaga alternatif dan sumbernya

 a)

b)

c)



4- Huraikan satu sumbangan  sektor perlombongan  dalam pembangunan ekonomi dan sosial sesebuah negara @ kepada penduduk tempatan.









     

1 comment: